PORT DICKSON: Port Dickson, Negeri Sembilan dan Johan Setia, Selangor mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 4 petang ini. Bacaan IPU Port Dickson ialah 124 manakala Johan Setia mencatatkan 109.
Menurut laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), 60 kawasan lain merekodkan IPU tahap sederhana. Antara lokasi terjejas termasuk Banting, Selangor (94), Cheras, Kuala Lumpur (89), Nilai, Negeri Sembilan (86), Kota Bharu, Kelantan (85), Kuala Terengganu, Terengganu (84), dan Sungai Petani, Kedah (83).
IPU diklasifikasikan sebagai baik (0-50), sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300), dan berbahaya (melebihi 300). Data ini dikeluarkan setiap jam berdasarkan 68 stesen pemantauan di seluruh negara. - Bernama