KUALA TERENGGANU: Pertubuhan Pesara Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) yang memiliki lebih 30,000 ahli berharap agar ada berita gembira untuk golongan pesara dalam perincian pelarasan gaji penjawat awam yang akan diumumkan kerajaan nanti.

Presidennya Datuk Omar Osman berkata pesara adalah antara golongan paling terkesan dengan kenaikan kos sara hidup masa kini.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat memberi pertimbangan sewajarnya terutama selepas kenaikan pencen tahunan sebanyak dua peratus yang dinikmati golongan tersebut sebelum ini telah dimansuhkan.

“Kami harap supaya kerajaan dapat mengambil perhatian terhadap pesara. Sebab bila berlaku pembatalan dua peratus kita dah tak ada kenaikan macam biasa.

“Lagipun mengikut akta pencen apabila berlaku semakan gaji penjawat awam maka elaun penerima pencen juga akan diselaraskan,“ katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari KUPEKMAS Peringkat Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Pada majlis tersebut KUPEKMAS turut menerima bantuan pengurusan sebanyak RM5,000 daripada Co-Opbank Pertama.

Dalam pada itu, Omar berkata pihaknya juga sedang merangka kertas kerja bagi memohon satu kadar kenaikan elaun pesara yang munasabah yang akan diserahkan kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Selain itu, beliau juga meminta supaya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengadakan taklimat kepada pesara untuk mendapatkan pandangan berkaitan mekanisme atau perincian kenaikan elaun berkenaan.

“Ogos ini kita akan adakan bengkel di Johor dan selepas itu kita akan serahkan kertas kerja kepada KSN tentang berapa peratus kenaikan yang kita nak minta.

“Tetapi kita juga harap JPA dapat beri taklimat kepada pesara supaya kita dapat beri pandangan yang sesuai,“ katanya.