Your Title

MELAKA: Lapan individu termasuk tiga wanita, masing-masing didenda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan penipuan dalam menawarkan pekerjaan tidak wujud secara dalam talian, minggu lepas.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman turut memerintahkan masing-masing dipenjara lapan bulan jika gagal membayar denda selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Mengikut pertuduhan Ee Ching Jin, 22; See Poh Ying, 21; Gao Jiayu, 32; Chow Jing Qnan, 25; Wong Sin Kien, 28; Wong Cheah Yi, 21; Cheng Wei Yee, 21 dan Yu Quan, 34 dituduh secara bersama bersubahat melakukan penipuan terbabit yang menyasarkan mangsa dalam kalangan warga Barbados.

Kesemuanya didakwa terlibat dalam sindiket tipu kerja itu dengan modus operandinya mengiklankan tawaran kerja palsu menerusi laman Facebook dan mangsa yang berminat akan berkomunikasi dengan ahli sindiket melalui aplikasi WhatsApp atau Telegram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Taman Kota Laksamana, Melaka Tengah kira-kira 10 pagi, 7 Feb lepas.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 120B(1) dan Seksyen 34 kanun sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau dengan kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman berat dikenakan terhadap kesemua tertuduh memandangkan ia melibatkan satu sindiket pusat panggilan penipuan, namun peguam Dennis Chong Chin Wei yang mewakili kesemua tertuduh merayu agar hukuman berbentuk denda dikenakan.