Your Title

KOTA BHARU: Kelantan menyediakan 19,619 aset pelbagai jenis yang diletakkan dalam keadaan siap siaga untuk digerakkan pada bila-bila masa yang diperlukan dalam menghadapi musim tengkujuh, kata Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Beliau berkata kesemua jumlah aset yang merangkumi pelbagai jenis kenderaan, jentera, bot, khemah kubik, set jana kuasa dan peralatan lain itu adalah lebih besar jika dibandingkan dengan 17,147 aset tahun lepas.

“Kerajaan negeri memandang serius ramalan Jabatan Meteorologi bahawa Kelantan dijangka menerima hujan lebat bermula Nov ini hingga Feb 2025.

“Kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat di negeri ini sepanjang musim tengkujuh sentiasa menjadi keutamaan kerajaan untuk dilaksanakan secara bersepadu antara agensi Persekutuan dan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata 459 pusat pemindahan sementara (PPS) dikenal pasti di seluruh Kelantan yang mampu menampung lebih daripada 186,440 mangsa, berbanding tahun lepas yang menyaksikan hanya 214 PPS.

Mohd Nassuruddin berkata bagi memastikan bekalan makanan dan keperluan asas mencukupi kerajaan menyediakan sebuah depoh simpanan keperluan bencana, 17 stor bencana dan lebih 160 pengkalan hadapan di seluruh negeri yang diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Beliau berkata selain itu 7,209 anggota dan petugas yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahana Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 10 agensi lain juga sudah bersiap sedia untuk digerakkan ke kawasan yang memerlukan.

“Jumlah keanggotaan berkenaan juga bertambah berbanding 7,147 anggota tahun lepas,” katanya.