ALOR GAJAH: Seorang anggota tentera berpangkat leftenan muda maut dalam kemalangan jalan raya yang melibatkan kereta Perodua Myvi dan lori tangki Scania di Jalan Solok Duku, Masjid Tanah awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supt Ashari Abu Samah, berkata kemalangan itu berlaku kira-kira jam 4 pagi. Mangsa, Muhammad Akmal Mohamad Amjaduzzahwi, 24, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan tersepit di tempat duduk pemandu.
“Lori tangki Scania itu dipandu seorang lelaki berusia 42 tahun dalam perjalanan dari Tanjung Bidara ke Masjid Tanah, manakala Perodua Myvi dipandu mangsa dari arah Masjid Tanah ke Kem Terendak. Kereta dipercayai hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori,“ kata Ashari dalam kenyataan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Melaka untuk bedah siasat, manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan. Siasatan mendapati pemandu lori mempunyai tujuh rekod saman trafik, tetapi saringan urin menunjukkan keputusan negatif. - Bernama