KUANTAN: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh peniaga makanan wanita.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Zalzul Kamar Abdul Ghani, 53, berikutan kes bunuh berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Dia didakwa menyebabkan kematian Norshamira Zainal di kawasan jeti Sungai Kuantan, belakang sebuah restoran di Jalan Padang Lalang di sini antara 7.30 hingga 8.30 malam.
Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun tetapi tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan minimum 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman menetapkan 10 April depan untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Pahang Sharizat Ismail dan Timbalan Pendakwa Raya B Deevagaran Naidu manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 15 Feb lepas, lelaki berkenaan diberkas di perumahan Wakaf Tembesu Gong Badak, Kuala Terengganu kira-kira 5.30 pagi.
Sebelum ini, media melaporkan mayat seorang peniaga makanan wanita tempatan Norshamira, 37, ditemukan pada 13 Feb di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini dan siasatan lanjut mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.