KOTA TINGGI: Polis menahan seorang lelaki dan merampas lapan kotak mengandungi pelbagai jenis mercun, disembunyikan dalam sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi di Taman Sri Saujana di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Yusof Othman berkata dalam serbuan pukul 1 tengah hari itu, lelaki berusia 24 tersebut cuba melanggar anggota polis sebelum berjaya ditangkap.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM42,000.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian untuk tampil di balai polis berhampiran atau menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Tinggi di talian 07-883 7222.