JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga Pakistan berusia 45 tahun ditahan polis selepas disyaki memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kemalangan di Jalan Riang Utama di sini semalam.
Kejadian itu dilaporkan berlaku sekitar pukul 6.30 petang.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat, suspek memandu sebuah Perodua Kelisa sebelum terbabas ke dalam sebuah restoran.
“Suspek kemudian mengundurkan kenderaannya dan melanggar beberapa motosikal serta sebuah kereta lain di bahu jalan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Orang ramai di lokasi kejadian cuba menghentikan kenderaan tersebut, namun suspek terus memandu untuk melarikan diri.
Pasukan polis dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik kemudian mengesan kenderaan itu di Lebuhraya Pasir Gudang menuju ke Taman Perling.
“Suspek enggan berhenti walaupun diberi arahan oleh polis. Dia akhirnya memberhentikan keretanya di Kilometer 8 lebuh raya itu sebelum melarikan diri dengan melompat dari tembok setinggi dua meter,“ jelas Raub.
Lelaki itu kemudian ditahan dalam keadaan lemah dan mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan.
Dia dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan dan sampel darahnya diambil bagi siasatan lanjut.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
Suspek juga disiasat kerana tidak memiliki lesen memandu yang sah serta dokumen perjalanan yang valid. - Bernama