GEORGE TOWN: Lima individu cedera termasuk tiga daripadanya mengalami kecederaan parah selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini malam tadi.

Kemalangan kira-kira 11.30 malam itu dipercayai berlaku apabila sebuah kereta jenis Toyota Estima dari arah George Town menghala ke Jambatan Pulau Pinang terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh kenderaan di situ.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak Fairol Mahazi Malek berkata pihaknya yang menerima panggilan kecemasan terus ke lokasi kejadian bersama dua jentera dan 10 anggota sebelum mendapati terdapat kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah motosikal.

“Kemalangan itu menyebabkan seorang pemandu kereta Perodua Bezza iaitu wanita berusia 40-an tersepit dan cedera parah, kami menggunakan peralatan khas serta mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan mangsa berikutan keadaan kenderaannya yang rosak teruk.

“Dua lagi penumpang di dalam kereta itu iaitu lelaki berusia 60-an dan wanita berumur 20-an mengalami cedera ringan, dua lagi mangsa yang mengalami cedera parah ialah pemandu kereta jenis BMW (lelaki 30-an) dan penunggang motosikal (lelaki 30-an),“ katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata pemandu Toyota Estima tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala kesemua yang cedera dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Pihak bomba katanya, turut melakukan kerja pembersihan tumpahan minyak dengan menggunakan pancutan salur bantu di lokasi kejadian dan operasi tamat sepenuhnya pada 12.22 tengah malam.