BEIJING: Malaysia dan China akan melaksanakan pertukaran serta penghasilan kandungan kreatif menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara kedua-dua negara hari ini.

MoU berkenaan ditandatangani antara Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dengan Menteri Pentadbiran Radio dan Televisyen Nasional China Cao Shumin bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang media dan penyiaran.

Fahmi berkata fokus akan diberikan kepada kandungan yang menonjolkan budaya, pelancongan dan makanan kedua-dua negara.

“Saya sudah minta pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM) meneruskan perbincangan dengan agensi yang sejawat dengan RTM supaya kita boleh, sebagai sebuah negara yang akan mempengerusikan ASEAN, mengambil kesempatan menonjolkan Malaysia termasuk kepada penonton di China, juga mengambil kesempatan bersempena dengan program Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Fahmi yang dalam rangka lawatan kerja selama tiga hari ke China bermula hari ini berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Resepsi yang dianjurkan Kedutaan Malaysia di China.

Terdahulu, Fahmi mengadakan pertemuan hampir sejam dengan Cao di ibu pejabat agensi itu dan membincangkan pelbagai perkara melibatkan kepentingan bersama dalam bidang penyiaran.

Pentadbiran Radio dan Televisyen Nasional (NRTA) ialah agensi kerajaan pusat peringkat kementerian secara langsung di bawah Majlis Negeri Republik China yang bertanggungjawab terhadap pentadbiran dan penyeliaan perkhidmatan radio, televisyen dan program audiovisual dalam talian di negara itu, serta promosi pembangunan perindustrian.

Fahmi berharap melalui MoU itu, lebih banyak kerjasama dalam penghasilan kandungan kreatif dapat dicapai, selain penganjuran pelbagai aktiviti dan program bagi mengeratkan lagi persahabatan kedua-dua negara yang menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun ini.

“Kita ada macam-macam format, memang kalau dari segi drama, kisah cinta, dokumentari, travelog dan foodvlog, saya nampak ada banyak peluang, terutama di kawasan Xian yang majoriti Muslim, bayangkan jumlah rakyat Cina beragama Islam itu jumlahnya sangat besar.

“Ia satu pasaran yang saya rasa kita di Malaysia harus kenal pasti dan tonjolkan supaya mereka juga berminat untuk datang ke Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata beliau juga menyuarakan minat berhubung trend baharu drama mikro, berdurasi hanya kurang seminit dan kini sangat diminati ramai di China, untuk dipelajari Malaysia.

“Saya difahamkan beberapa penonton termasuk di Malaysia sudah mula mengikuti format drama ini iaitu drama yang tempohnya mungkin dalam satu minit, kadang-kadang kurang satu minit dan ia sangat sesuai untuk mereka (menontonnya) ketika pergi kerja, balik kerja atau semasa rehat sekejap, ini format yang menarik,” katanya.

Mengulas mengenai lawatan itu, Fahmi berkata kehadirannya bersama delegasi diharap dapat menjadi pemangkin kepada usaha meningkatkan sektor telekomunikasi dan teknologi baharu seperti satelit bagi meningkatkan kesalinghubungan negara.

Fahmi dijadualkan mengadakan mesyuarat dua hala bersama Menteri Industri dan Teknologi Maklumat China Jin Zhuanlong petang ini.