• 2025-07-19 05:58 PM

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Jepun terus memperkukuh kerjasama dua hala dalam sektor pendidikan tinggi menerusi pelbagai inisiatif strategik bagi memantapkan hubungan akademik serta mobiliti pelajar antara kedua-dua negara.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata perbincangan terperinci telah diadakan bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia Noriyuki Shikata bagi membincangkan peluang kerjasama lebih luas.

“Antara topik dibincangkan termasuklah peningkatan program mobiliti pelajar dan pensyarah antara institusi pengajian tinggi kedua-dua negara serta isu pelajar Malaysia di Jepun dan pelajar Jepun di Malaysia termasuk kebajikan, biasiswa dan peluang kerjaya pascapengajian,“ katanya.

Zambry turut menekankan pencapaian penting dalam kerjasama pendidikan tinggi kedua negara iaitu penubuhan University of Tsukuba Malaysia. Kampus cawangan luar negara pertama oleh universiti Jepun ini dianggap sebagai detik bersejarah dalam hubungan akademik Malaysia-Jepun.

Beliau juga menyatakan pertemuan ini sebagai persediaan awal sebelum rundingan lebih mendalam diadakan dengan rakan sejawatan dari Jepun di Tokyo pada hujung bulan ini.

Kerjasama ini turut melibatkan pemantapan peranan Malaysia-Japan Linkage Office yang beroperasi di Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Universiti Teknologi Malaysia (UTM). - Bernama