ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah kekal 609 orang daripada 163 keluarga setakat 8 pagi ini.

Menurut laporan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa berkenaan ditempatkan di lapan PPS di daerah Pendang.

PPS terbabit ialah Dewan Kompleks Rakan Sukan Tanah Merah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendang, SMK Tanah Merah, SMK Ayer Puteh Dalam, Sekolah Model Khas Bukit Jenun, Sekolah Kebangsaan (SK) Haji Mohamad Ariff, SK Tanah Merah dan SK Syed Ibrahim.

Sementara itu, berdasarkan laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, setakat 8 pagi ini paras air Sungai Laka di Kampung Padang Pasir, Kubang Pasu melebihi paras bahaya iaitu 22.23 meter (m).

Tiga sungai di Kota Setar pula iaitu Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya, Sungai Anak Bukit di Taman Aman dan Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR merekodkan tahap waspada.