SEREMBAN: Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan oleh pemancing di Pantai Teluk Kemang, Port Dickson pada dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata mayat dipercayai warga tempatan itu ditemukan dalam keadaan terapung sebelum dibawa arus dari tengah laut ke pesisir pantai.

Beliau berkata mayat lelaki berusia lingkungan 30-an itu mempunyai tanda vaksin (BCG) pada bahagian lengan sebelah kiri dan tatu bercorak senjata ‘AK47’ di leher sebelah kiri.

“Mayat dijumpai dalam keadaan terlentang dengan lengkap berpakaian kemeja T dan seluar jean hitam. Hasil pemeriksaan tubuh badan hanya menjumpai wang tunai di dalam poket seluar dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri atau telefon bimbit,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Maslan berkata hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa tidak terdapat sebarang unsur perlakuan jenayah.

Beliau berkata hasil bedah siasat pihak Hospital Port Dickson mendapati punca kematian mangsa adalah lemas dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

“Orang awam yang mempunyai maklumat atau individu kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi Ketua Polis Balai Telok Kemang Inspektor K. Surenthiran di talian 013-6526494 dan Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson di talian 06-646 2999 atau tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan serta urusan pengecaman mayat,” katanya.