• 2025-07-30 06:43 PM

KUALA LUMPUR: Mayat wanita yang ditemui di bawah jambatan Sungai Klang pada Isnin lepas dipercayai mempunyai kaitan dengan laporan orang hilang melibatkan seorang penuntut kolej swasta.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata, laporan orang hilang itu diterima pada 26 Julai lalu daripada kakak mangsa, selepas adiknya gagal dihubungi sejak sehari sebelumnya.

“Siasatan mendapati kakak mangsa diminta menjemputnya di stesen LRT Putra Heights pada 25 Julai, namun mangsa tidak dapat dihubungi sehingga keesokan harinya,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Bedah siasat di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, mendapati tiada kesan pergelutan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa. Namun, laporan penuh masih menunggu keputusan makmal.

“Pemeriksaan lanjut menemui anak kunci dalam poket seluar mangsa. Pihak polis telah memeriksa rumah di Jalan Klang Lama yang dipercayai tempat tinggal mangsa,“ jelasnya.

Semakan CCTV menunjukkan mangsa berada di kawasan tersebut sebelum dilaporkan hilang. Pengecaman awal oleh waris mengesahkan pakaian mayat sepadan dengan milik mangsa, tetapi pengesahan identiti masih menunggu keputusan cap jari.

Mayat tanpa identiti itu ditemui dalam keadaan tertiarap di bawah jambatan Sungai Klang berhampiran Jalan Jurutera, Puchong pada 11.58 pagi Isnin lepas. Tiada dokumen pengenalan atau barangan peribadi ditemui pada mayat tersebut. - Bernama