KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peringatan terhadap pihak Meta Platforms Inc (Meta) supaya tidak menjadi perkakas rejim Zionis.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri menyelar tindakan Meta yang sekali lagi bertindak biadab dan menghina perjuangan rakyat Palestin apabila menurunkan hantaran video serta ucapan takziah dan kritikan terhadap pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh.
Anwar berkata adalah tidak masuk akal apabila hantaran menghormati seorang pejuang yang berusaha memerdekakan tanah airnya daripada kezaliman dan penderitaan dianggap berbahaya.
“Peringatan tegas saya terhadap Meta - usah jadi bacul dan perkakas rejim zalim Zionis Israel!” katanya.
Semakan di akaun Instagram Perdana Menteri mendapati, tiga hantaran beliau semalam yang mengutuk pembunuhan Ismail Haniyeh dan berkongsi gambar pertemuan dengan pemimpin Hamas itu diturunkan daripada aplikasi media sosial berkenaan.
Penurunan hantaran itu disertakan dengan kapsyen “Dangerous individuals and organisations”.
Semalam Pejabat Perdana Menteri mengecam tindakan Meta yang sekali lagi menurunkan hantaran gambar perjumpaan Anwar dengan pemimpin Hamas di Doha, Qatar daripada aplikasi Instagram.
Bahagian Media dan Komunikasi Strategik, Pejabat Perdana Menteri menerusi hantaran di laman Facebook berkata tindakan itu ternyata memperlihatkan diskriminasi terhadap situasi di Palestin dan pemimpin negara itu.
“Sehubungan itu pihak kami menuntut penjelasan berhubung perkara ini, dan mendesak Meta memohon maaf,” menurut kenyataan itu yang turut dikongsikan pada akaun media sosial rasmi Perdana Menteri.
Perdana Menteri pada 14 Mei lepas berkongsi gambar pertemuan bersama pemimpin Hamas termasuk Ismail Haniyeh di media sosial rasmi beliau, namun Meta bertindak menurunkan hantaran itu tidak lama kemudian.
Tindakan itu dikecam, sehingga Meta bertindak memuat naik semula hantaran berkenaan.