KUALA LUMPUR: Jaguh angkat berat negara Mohamad Aniq Kasdan muncul atlet keenam mengesahkan slot ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas menamatkan kempen kelayakan terakhir di Phuket, Thailand pada hari Selasa (Mac 2).

Pada Kejohanan Piala Dunia IWF (Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa), Mohamad Aniq yang beraksi dalam kategori 61 kilogram (kg) melakukan angkatan keseluruhan 290kg namun tidak berjaya mengulangi pencapaian terbaik sewaktu di Qatar Disember lepas dengan angkatan 296kg.

Biarpun menamatkan saingan di tempat kelapan, kedudukan berkenaan tidak terjejas apabila badang negara berusia 21 tahun itu tetap layak ke Paris bersama sembilan atlet lain ke temasya berprestij dunia itu.

Perkhabaran gembira atlet kelahiran Segamat itu dikongsi Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat yang mengesahkan Mohamad Aniq layak secara merit ke Olimpik Paris.

“Mohamad Aniq sah ke Sukan Olimpik 2024 namun persembahan beliau kurang memuaskan memandangkan beliau gagal capai sasaran angkatan jumlah keseluruhan 300kg,” katanya ketika dihubungi pada hari Selasa.

Sementara itu, seorang lagi wakil negara, Muhamad Aznil Bidin menamatkan saingan di tempat ke-10 dengan angkatan keseluruhan 284kg.

Wakil China Li Fabin mengungguli acara tersebut dengan angkatan keseluruhan 312kg manakala Park Myongjin dari Korea Utara merangkul perak (301kg) dan atlet Filipina, Ceniza John terpaksa berpuas hati dengan gangsa (300kg).

Untuk rekod, Mohd Hafifi Mansor muncul wakil angkat berat terakhir negara layak ke Sukan Olimpik pada edisi Rio 2016 dalam acara 69kg.

Lima lagi atlet lain yang layak ke Paris 2024 adalah Bertrand Rhodict Lises (terjun), Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) dan Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya).

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image