Your Title

KUALA LUMPUR: Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan mengambil tindakan perundangan seperti termaktub di bawah agensi itu sekiranya kilang sawit didapati menjadi punca pencemaran Sungai Pukin, Rompin, Pahang baru-baru ini.

Ketua Pengarah MPOB Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata pihaknya sedang mendapatkan maklumat lanjut mengenai kejadian pencemaran di sungai itu, disyaki berpunca daripada pelepasan efluen kilang sawit yang tidak terawat.

“MPOB telah dimaklumkan mengenai aduan daripada Pengurusan Air Pahang (PAIP) pada 18 Ogos lalu berhubung warna air di Sungai Pukin yang berwarna keruh.

“Pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS), Rompin, juga telah menjalankan siasatan mengenai pencemaran berlaku di Sungai Pukin...hasil siasatan dijalankan JAS menyatakan tiada bukti kukuh menunjukkan pelepasan efluen daripada kilang buah kelapa sawit menyebabkan pencemaran air berkenaan,” menurut kenyataan dikeluarkan agensi itu semalam.

Menurut kenyataan itu, MPOB memandang berat terhadap pemeliharaan alam sekitar dan menggesa kilang sawit supaya mematuhi perundangan pada setiap masa, termasuk perundangan JAS mengenai sistem pengolahan efluen.

MPOB juga sentiasa bekerjasama dengan JAS bagi membendung pencemaran alam sekitar termasuk pencemaran sungai oleh aktiviti pengilangan buah kelapa sawit, menurut agensi itu.

Sebarang aduan boleh dikemukakan menerusi e-mel general@mpob.gov.my atau talian 03 8769 4400. - Bernama