Your Title

KUALA LUMPUR: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives (BMD) mengakhiri kenaikan tiga hari berturut-turutnya untuk ditutup kebanyakannya rendah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung, kata seorang peniaga.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata penurunan di pasaran minyak kacang soya dan minyak mentah dilihat memberi kesan kepada harga MSM.

“Kami mengesan paras sokongan pada RM3,650 setan metrik dan paras rintangan pada RM3,900 setan metrik,” katanya kepada Bernama.

Kontrak bagi November 2023 turun RM43 kepada RM3,726 setan metrik, Disember 2023 susut RM48 kepada RM3,745 setan metrik dan Januari 2024 berkurangan RM52 kepada RM3,758 setan metrik.

Kontrak Februari 2024 jatuh RM51 kepada RM3,776 setan metrik, manakala kedua-dua Mac 2024 dan April 2024 susut RM49 masing-masing kepada RM3,787 dan RM3,783 setan metrik.

Jumlah dagangan meningkat kepada 58,898 lot daripada 57,878 pada Rabu manakala kepentingan terbuka naik kepada 278,298 kontrak daripada 222,625 sebelumnya.

Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan jatuh sebanyak RM20 kepada RM3,760 setan metrik.-Bernama