Your Title

IPOH: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Perak menahan 76 pendatang warga Myanmar, Thailand dan Indonesia yang melakukan pelbagai kesalahan berkaitan imigresen dalam Ops Bersama di sekitar Pantai Remis, dekat Manjung malam semalam.

Pengarah JIM Perak Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata kesemua mereka yang terdiri daripada 50 lelaki, 22 wanita, empat kanak-kanak dan bayi, berumur seawal empat bulan hingga 61 tahun, ditahan selepas pihaknya melakukan pemeriksaan keatas 153 individu dalam operasi itu.

Beliau berkata mereka dihantar ke Depot Imigresen Ipoh untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, termasuk mengikut kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen.

“Antara kesalahan yang dilakukan adalah memasuki Malaysia tanpa pas sah, tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh pas dan melanggar syarat pas yang telah dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Meor Hezbullah berkata selain 125 anggota JIM, operasi berkenaan turut melibatkan 100 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 35 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).