KUALA LUMPUR: Seramai 898 along ditahan menerusi 734 Op Vulture yang dilaksanakan sejak Januari hingga Ogos tahun ini, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Daripada jumlah berkenaan, seramai 196 along telah dituduh di mahkamah, katanya menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) berkenaan usaha kerajaan mengatasi kes keganasan along atau pemberi pinjaman wang tanpa lesen pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Samsul Anuar berkata tumpuan Op Vulture adalah untuk membanteras ahli sindiket secara menyeluruh yang terlibat dalam pemberian pinjaman wang tidak berlesen seperti aktiviti pemungut hutang, pengedaran risalah, poster, kad pinjaman atau sepanduk berkaitan promosi atau iklan pinjaman wang.

Pada masa sama, operasi itu juga bertujuan untuk membanteras kegiatan memberi atau meminjamkan kad dan akaun bank kepada individu lain bagi tujuan yang menyalahi undang-undang.

Dalam perkembangan lain, Samsul Anuar berkata pelbagai mekanisme telah dilaksana bagi memastikan integriti dan komitmen pegawai dan anggota polis dalam keadaan terbaik, antaranya memperkasakan Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (PPPA 1993).

“Pemerkasaan itu melibatkan peningkatan ketegasan dan penyeliaan menggunakan kaedah ‘close monitoring’ (pemantauan secara lebih terperinci) bagi memastikan warga Polis Diraja Malaysia faham dan menghayati semangat PPPA 1993 sebagai mekanisme semak dan imbang dalam menangani pelbagai isu berkaitan integriti dan salah laku,” katanya.

Beliau berkata bagi tempoh Januari 2014 hingga Ogos 2023, sebanyak 43,824 aduan diterima oleh Cawangan Pengaduan Awam Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard, Bukit Aman dan dalam tempoh itu, sebanyak 19,648 kertas siasatan tatatertib dibuka atas pebagai kesalahan.

“Sejumlah 18,448 kertas siasatan tatatertib atau 93.89 peratus telah selesai manakala 1,200 atau 6.11 peratus masih dalam siasatan,“ katanya menjawab soalan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berkenaan mekanisme kerajaan bagi memastikan integriti dan komitmen anggota polis yang bertugas di kawasan mencabar terjaga. -Bernama