the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, June 27, 2026
27.9 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

PAC syor KPT guna garis panduan pelaburan universiti awam untuk anak syarikat

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berpendapat Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) boleh mempertimbang pelaksanaan dan pemakaian Garis Panduan Pelaburan dan Pembiayaan oleh Universiti Awam 2024 kepada anak-anak syarikat di bawah seliaan kementerian itu.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pembangunan dan penguatkuasaan garis panduan itu untuk diguna pakai semua universiti awam dilihat adalah baik.

“Dalam usaha memastikan pematuhan kepada kuasa melulus dalam membuat pelaburan, pembiayaan dan penubuhan syarikat subsidiari selaras dengan peruntukan Akta 173 (Akta Universiti Teknologi Mara), KPT telah menyediakan Proses Permohonan Pelaburan dan Pinjaman di peringkat UiTM (Universiti Teknologi Mara) dan KPT.

“PAC berpandangan manual operasi standard yang telah disediakan hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh KPT dan UiTM dan dalam masa sama ia tidak terikat dengan kerenah birokrasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PAC hari ini membentangkan laporannya terhadap tindakan susulan KPT dan UiTM bagi syor-syor laporan PAC berhubung UiTM Holdings Sdn Bhd (UHSB).

Mas Ermieyati berkata jawatankuasa itu telah mengadakan prosiding tindakan susulan pegawai pengawal ke atas syor-syor PAC Parlimen bagi Laporan PAC Parlimen pada 9 Julai lepas.

Antara saksi yang hadir Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan) Datuk Dr Shahrazat Ahmad, Ketua Setiausaha KPT Datuk Seri Dr Zaini Ujang, Naib Canselor UiTM Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin dan Penolong Pengurus Besar UHSB Syed Azharuddin Al-Habshi.

“PAC mengambil maklum usaha yang diambil KPT, UiTM dan UHSB bagi memastikan pengurusan aktiviti UiTM Holdings diuruskan dengan teratur, cekap dan berkesan serta mengikut amalan tadbir urus korporat yang baik.

“Lanjutan daripada syor-syor PAC mengenai isu dalam memastikan sistem kawal selia yang lebih efektif ke atas UHSB dan syarikat subsidiari supaya lebih menjana keuntungan dan mampu membayar dividen selaras dengan matlamat penubuhan, jawatankuasa ini telah dimaklumkan dengan langkah-langkah telah diambil oleh KPT dan UiTM,” katanya.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings