KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya lima laporan polis telah dibuat oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan UMNO Parlimen Lembah Pantai berhubung insiden paparan Jalur Gemilang yang tidak lengkap pada pameran perdagangan produk bayi di sebuah pusat beli-belah di ibu negara, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata kesalahan mempamerkan lambang kebangsaan secara tidak sempurna adalah perkara serius yang tidak boleh dipandang ringan, dan tindakan tegas wajar diambil sebagai peringatan supaya insiden tersebut tidak berulang.

“Semalam, kita digegarkan dengan satu insiden yang dipercayai berlaku di Mid Valley dalam kawasan Lembah Pantai, melibatkan paparan lambang Jalur Gemilang yang tidak lengkap. Saya bangkitkan isu ini kerana ia berlaku di kawasan saya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Aidilfitri Persatuan Waris Kerinchi Kuala Lumpur di sini hari ini.

Fahmi berkata beliau telah berhubung dengan pihak pengurusan Mid Valley, yang memaklumkan bahawa insiden tersebut berlaku di kawasan pameran yang diuruskan oleh sebuah syarikat. Terdapat satu ruang pameran yang memaparkan Jalur Gemilang yang tidak lengkap.

Beliau turut mengulas insiden kali ketiga dalam minggu ini, yang menyaksikan paparan Jalur Gemilang tidak lengkap, dan yang terbaharu berlaku di sebuah pameran perdagangan produk bayi di sebuah pasar raya.

Susulan insiden itu, Fahmi berkata pihaknya telah berbincang dengan parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk bersama-sama membuat laporan polis pada tengah malam tadi.

Laporan itu antara lain meminta polis untuk menyiasat insiden tersebut di bawah Akta 414, Akta Lambang dan Nama (Pencegahan Penggunaan Tidak Wajar) 1963, serta Akta 193, Akta Kawalan Paparan Lambang Kebangsaan 1949.

“Kita serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat dan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang, kita mohon agar tindakan tegas diambil terhadap pihak berkenaan,” katanya.

Fahmi menegaskan bahawa kesalahan mempamerkan lambang kebangsaan adalah perkara yang berat, dan kejadian tersebut seharusnya menjadi pengajaran.

Beliau turut mencadangkan agar pihak yang kurang jelas mengenai tatacara penggunaan Jalur Gemilang merujuk kepada Jabatan Penerangan bagi mengelakkan insiden serupa berulang.

Sementara itu, Fahmi turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Waris Kerinchi Kuala Lumpur semasa majlis tersebut, bagi membantu persatuan itu melaksanakan pelbagai aktiviti di kawasan berkenaan.