KUALA LUMPUR: Menara Kuala Lumpur (Menara KL) yang ditutup sementara bermula hari ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan serta menyelesaikan isu berkaitan keselamatan, akan dibuka semula secepat mungkin.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata menara komunikasi itu akan segera dibuka kepada pengunjung selepas dua aspek utama berkenaan diselesaikan oleh pemegang konsesi baharu LSH Service Master Sdn Bhd (LSHSM).
“Syarikat konsesi baharu memerlukan sedikit masa untuk melaksanakan kerja-kerja berkaitan secara teliti bagi menjamin keselamatan pengunjung,” katanya yang juga jurucakap Kerajaan MADANI.
Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan di Angkasapuri di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.
Fahmi berkata pasukan Kementerian Komunikasi sudah melakukan lawatan di bangunan Menara KL baru-baru ini dan mendapati banyak perkara, antaranya perkakas di dapur restoran berputar di situ, tidak berada dalam keadaan yang ‘nyaman’ untuk pengunjung.
“Selain itu terdapat juga aspek-aspek berkaitan keselamatan kepada pengunjung yang kita lihat agak merisaukan dan perlu tindakan segera, antaranya pagar penghadang (railing) di dek menara yang telah diturunkan,” katanya.
Mengulas status 205 petugas syarikat konsesi lama, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB), Fahmi memaklumkan bahawa 193 daripada mereka telah bersetuju menerima tawaran bekerja semula dengan syarikat baharu LSHSM.
“Berpandukan kepada notis penamatan perkhidmatan (petugas MKLSB) pada 18 Dis lepas, semua 205 pekerja itu tamat perkhidmatan pada 31 Mac lepas, bersamaan hari raya pertama. Kementerian Komunikasi telah minta syarikat baharu (LSHSM) untuk ambil semua pekerja ini kerana mereka sudah berbelas tahun bekerja di Menara KL, amat berpengalaman.
“Antara syarat utama dalam tawaran kepada 205 kakitangan itu ialah LSHSM perlu menawarkan tangga gaji yang no less favourable daripada apa yang mereka perolehi dengan syarikat terdahulu,” katanya.
Kementerian Komunikasi dalam kenyataan malam tadi memaklumkan Menara Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara waktu bermula hari ini untuk memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.