LONDON: Sektor pendidikan akan terus menjadi tunjang utama dalam hubungan erat antara Malaysia dan United Kingdom (UK), demikian menurut Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke UK dan Ireland Utara Datuk Zakri Jaafar.
Menurut beliau Malaysia kini menduduki tangga kelapan tertinggi dalam kalangan negara yang menghantar pelajar ke UK, dengan seramai 13,005 orang setakat ini.
“Pada masa yang sama, terdapat lebih daripada 50 sekolah dan lima universiti UK yang beroperasi di Malaysia,“ katanya ketika berucap pada majlis makan malam dan sesi ramah mesra Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bersama rakyat Malaysia di UK, bertempat di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London pada Jumaat.
Seramai 80 orang menghadiri majlis tersebut, terdiri daripada pelajar Malaysia, wakil syarikat berkaitan kerajaan, serta kakitangan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London.
Turut hadir ialah isteri Fadillah, Datin Seri Ruziah Mohd Tahir, Ketua Pegawai Tenaga Baharu Tenaga Nasional Berhad Mohd Zarihi Mohd Hashim, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad Datuk Sharbini Suhaili, dan delegasi dari Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).
Timbalan Perdana Menteri tiba di London dari Turkiye pada Rabu untuk lawatan kerja selama tiga hari. Sebelum itu, beliau turut menunaikan solat Jumaat bersama komuniti Islam di Malaysia Hall.
Sepanjang berada di London, Fadillah mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Mengenai Masa Depan Keselamatan Tenaga di Lancaster House, yang berlangsung selama dua hari bermula Khamis.
Selain itu, Zakri turut memaklumkan bahawa Malaysia dan UK menjalinkan kerjasama erat dalam sektor pertahanan, terutamanya melalui kerangka Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA). Kerjasama ini meliputi latihan ketenteraan bersama, kolaborasi industri pertahanan, perolehan, dan pertukaran teknologi.
Dari sudut pelancongan pula, seramai 315,980 pelawat dari UK direkodkan tiba di Malaysia pada 2024, menunjukkan peningkatan berbanding 272,297 pada 2023 dan 134,667 pada tahun sebelumnya. Angka ini dijangka terus meningkat pada 2025 berikutan penyambungan semula perkhidmatan penerbangan British Airways ke Kuala Lumpur.
Zakri berkata lawatan kerja Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke UK pada awal tahun ini membuktikan hubungan baik antara kedua-dua negara bukan sahaja terjalin secara dua hala, malah dalam pelbagai forum antarabangsa, termasuk melalui Pertubuhan Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Hubungan ini turut diperkukuh dengan penyertaan UK sebagai rakan dialog ASEAN dan yang terbaharu, keahlian UK dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), di mana Malaysia telah menjadi anggota lebih awal,“ katanya.