BALING: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 12 tahun selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan melakukan khianat dengan membakar lima motosikal antara Disember 2024 hingga Januari lepas.

Hakim Najwa Che Mat menjatuhi hukuman penjara empat tahun bagi setiap pertuduhan ke atas Afif Jazimin Jamaluddin, 23, dan memerintahkan hukuman tersebut berjalan berasingan bermula dari tarikh ditangkap pada 20 Jan lepas.

Bagi pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa melakukan khianat api dengan membakar sebuah motosikal jenis Honda EX5 di sebuah rumah di Kampung Jerai di sini, pada 3.15 pagi, 27 Dis 2024.

Afif Jazimin juga didakwa membakar sebuah motosikal jenis Modenas Kriss, sebuah Honda EX5 dan sebuah SM Sport di sebuah rumah di Kampung Pisang, Kupang di sini pada 3.30 pagi, 24 Dis 2024.

Dia juga didakwa melakukan perbuatan sama terhadap sebuah motosikal jenis Modenas Kriss di sebuah rumah di Kampung Hangus, Kupang dekat sini pada 3.30 pagi, 2 Jan lepas.

Berikutan itu dia didakwa di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan bagi setiap pertuduhan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara hingga 14 tahun dan dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirul Halimi Md Salleh, manakala tertuduh diwakili peguam Intan Nursyafina Baharudin.

Sebelum ini, tertuduh ditahan polis bagi membantu siasatan kes kebakaran sembilan rumah di Kupang di sini, sejak pertengahan Disember hingga awal Jan lepas.

Selain rumah, kebakaran tersebut turut memusnahkan dua kenderaan dan 18 motosikal melibatkan kerugian RM770,000.