KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat kerugian RM1.9 juta selepas mendakwa dirinya ditipu sebuah firma guaman di sini baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata mangsa yang merupakan wanita berusia 47 tahun mendakwa syarikatnya telah melantik sebuah firma guaman untuk menguruskan perihal empat tuntutan sivil terhadapnya.

“Bagaimanapun padal awal 2023, wanita itu memaklumkan mahkamah telah mengeluarkan ‘injunksi mareva’ terhadap harta miliknya iaitu perintah menghalang seseorang daripada melupuskan harta sementara menunggu penyelesaian tindakan undang-undang.

“Rentetan itu, suspek yang merupakan pemilik firma guaman yang dilantik oleh wanita itu, telah membuat tawaran untuk memindahkan harta dan wang tunai milik wanita berkenaan kepada suspek untuk dijaga sementara tuntutan sivil terbabit berlangsung,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata percaya dengan tawaran itu, wanita berkenaan telah menyerahkan wang serta beberapa barangan mewah miliknya kepada suspek dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1.9 juta.

Bagaimanapun pada penghujung tahun lepas, wanita terbabit memutuskan untuk tidak lagi menggunakan khidmat guaman suspek dan meminta suspek memulangkan semua wang tunai dan barangan mewah yang telah diamanahkan, namun suspek gagal berbuat demikian serta memberikan pelbagai alasan.

Wanita itu yang mengesyaki suspek telah menyalahgunakan wang serta barangan mewah terbabit untuk kepentingan peribadi telah membuat laporan polis pada 11 Sept lepas.

Ramli berkata kes disiasat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.