LARUT: Perak kekal sebagai antara negeri utama pengeluar durian di Malaysia dengan jumlah pengeluaran mencecah 59,217.3 tan metrik bernilai RM462.28 juta pada tahun 2024.
Pencapaian ini menyumbang besar kepada ekonomi agromakanan negara sekaligus mengukuhkan kedudukan Perak dalam pasaran eksport durian global.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Malaysia telah mengeksport durian dari Perak ke lebih 41 negara antara 2017 hingga 2023, dengan 73 peratus nilai eksport tertumpu ke China.
“Pada 2022, nilai eksport durian Malaysia mencecah RM1.14 bilion, termasuk RM887 juta ke China. Permintaan terhadap varieti premium seperti Musang King, Black Thorn, dan durian kampung dari Perak terus meningkat,“ katanya semasa merasmikan Majlis Penutupan Durian Fest Peringkat Negeri Perak 2025 di Dataran Selama.
Eksport sulung durian segar Malaysia ke China bermula pada 24 Ogos 2024 melibatkan 413.61 tan metrik bernilai RM24.84 juta, berikutan perjanjian fitosanitari antara kedua-dua negara.
“Durian Malaysia kini memasuki 16 wilayah utama China dan diterima sebagai produk eksotik premium. Durian kampung Perak semakin dikenali di peringkat antarabangsa,“ tambah Saarani.
Topone Solution Sdn Bhd (TSSB) berjaya mengeksport 30 kontena durian bernilai RM20 juta pada 2024, termasuk lima kontena durian kampung (RM1 juta) dan 100 tan metrik pes durian kampung (RM5.25 juta).
Pasaran lain seperti Singapura, Hong Kong, Amerika Syarikat, dan Australia turut menunjukkan minat tinggi, dengan harga durian kampung Malaysia mencecah RM29 bagi 600 gram dan Musang King dijual sehingga RM400 untuk 2.5 kilogram.
Prospek masa depan menjanjikan dengan unjuran nilai eksport durian Malaysia meningkat kepada RM1.8 bilion menjelang 2030, didorong oleh kemajuan logistik, teknologi rantaian sejuk beku, dan inovasi produk hiliran seperti coklat durian, kopi durian, dan ais krim durian. - Bernama