• 2025-07-22 05:59 PM

IPOH: Kerajaan Perak memperuntukkan RM5,000 bagi membantu penubuhan kesatuan sekerja dengan sasaran 1.1 juta pekerja di negeri ini dalam tempoh tiga tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A Sivanesan, berkata usaha ini bertujuan memperkasakan hak dan kebajikan pekerja.

“Di Perak, daripada 1.25 juta pekerja, hanya sebilangan kecil menyertai kesatuan. Kadar keahlian di negeri ini lebih rendah berbanding purata kebangsaan iaitu lapan peratus,“ katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Beliau menegaskan kesatuan penting bagi memastikan keharmonian di tempat kerja.

“Kalau ada kesatuan, pekerja boleh adakan rundingan untuk terma-terma pelarasan gaji dua tahun sekali, kesihatan, dan berkaitan cuti.”

Sivanesan turut menjelaskan bahawa pindaan Akta Kesatuan Sekerja 1959 pada 2023 telah memudahkan penubuhan kesatuan, namun masih ramai majikan yang takut melaksanakannya.

“Majikan tidak perlu bimbang terhadap mogok kerana ia tertakluk kepada prosedur ketat di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967. Tiada mogok besar berlaku dalam 45 tahun ini,“ katanya.

Bagi memudahkan proses penubuhan, Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja Negeri akan terlibat secara aktif mewakili kerajaan Perak.

“Apabila jawatankuasa sementara ditubuhkan, mereka belum dapat pendaftaran daripada Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja. Mereka perlukan wang untuk urusan penubuhan, jadi kerajaan Perak akan keluarkan peruntukan ini,“ jelasnya.

Peruntukan tersebut di bawah Exco Sumber Manusia diharap dapat membantu sekurang-kurangnya 1.1 juta pekerja yang belum menjadi anggota kesatuan.

Projek perindustrian di Proton City, LUMIC, Bagan Datuk, Chemor, dan taman industri Kinta dijangka menambah 30,000 pekerja baru, menjadikan penubuhan kesatuan lebih penting. – Bernama