KLANG: Pendakwah selebriti Azman Syah Alias atau lebih dikenali sebagai PU Azman terpaksa meringkuk di Penjara Kajang bermula hari ini untuk menjalani hukuman penjara 24 tahun dan dua sebatan yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Ini berikutan Hakim Noridah Adam menolak permohonan peguam Mohamad Zahid Ahmad mewakili Azman Syah, 43, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut sementara menunggu rayuan terhadap keputusan itu diputuskan di Mahkamah Tinggi di sini.

“Permohonan peguam untuk penangguhan pelaksanaan hukuman ditolak, kerana tiada keadaan khas dikemukakan oleh pembelaan,” kata Noridah.

Azman Syah memakai kurta biru yang berada di kandang tertuduh mengangguk faham, selepas ditanya Noridah sama ada dia memahami keputusan mahkamah itu.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 24 tahun dengan dua sebatan ke atas Azman Syah selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun.

Terdahulu, Mohamad Zahid berkata pihaknya memohon mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman berkenaan kerana anak guamnya merupakan pesalah pertama dan tidak pernah disabitkan atas jenayah lampau.

“Kebarangkalian tertuduh terlibat dengan kes jenayah semasa menunggu rayuan adalah tipis. Jika mahkamah meneruskan hukuman, ia akan menyukarkan kami untuk menyediakan pembelaan untuk kes lain yang dihadapi tertuduh, termasuk permohonan rayuan yang terbaik demi keadilan kepada tertuduh,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul ‘Izzati Mohamad pula berkata permohonan itu perlu ditolak kerana alasan yang diberikan pihak pembelaan tidak tergolong dalam keadaan khas yang luar biasa untuk penangguhan tersebut.

Azman Syah didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki 17 tahun di sebuah inap desa di Kampung Sungai Udang di sini, masing-masing pada 12.15 tengah malam dan 1 pagi pada 20 Feb serta 29 Jun 2022.

Dia dituduh mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Mohamad Zahid ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu berkata pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi di sini secepat mungkin terhadap penangguhan pelaksanaan hukuman dan keputusan hari ini.