JASIN: Sebanyak 18 pasukan dari seluruh negara menyertai Pertandingan Tarian Singa dan Naga peringkat kebangsaan Piala YB Along 2025 di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chiao Chee, Selandar.
Acara anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Asahan ini disertai peserta dari Kuala Lumpur, Johor, Selangor, Kelantan, dan Melaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan berkata pertandingan ini menjadi platform penting untuk memupuk perpaduan dan menghargai seni budaya warisan pelbagai kaum di Malaysia.
“Tarian singa dan naga kini juga mempunyai peserta daripada kaum lain serta menjadi elemen perpaduan yang boleh diraikan. Acara seperti ini memberi peluang kepada masyarakat lain mengenali seni dan tradisi kaum Cina selain dapat menarik kehadiran pengunjung,” katanya.
Fairul Nizam turut menyatakan hasrat untuk meneruskan penganjuran pertandingan ini pada masa depan memandangkan sambutannya yang menggalakkan.
Hadiah wang tunai RM3,000, RM2,000, dan RM1,000 disediakan untuk pemenang tempat pertama, kedua, dan ketiga.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem turut hadir merasmikan acara tersebut. - Bernama