KLANG: Prasarana dan ekosistem di pelabuhan perlu terus diperkemas dan dipertingkatkan untuk mengurangkan isu kesesakan di pelabuhan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri berkata peranan pelabuhan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara seiring dengan hasrat untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pengangkutan pelbagai industri melalui peningkatan pelaburan dan perdagangan yang lebih tinggi.

Beliau berkata perkara berkaitan meningkatkan keupayaan pelabuhan dan pengangkutan telah beberapa kali dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri termasuk isu di Pelabuhan Barat atau Westports di Pelabuhan Klang.

“Pelabuhan memainkan peranan yang penting dalam mendokong usaha kerajaan menarik pelbagai pelaburan bagi memacu pertumbuhan ekonomi negara, justeru ekosistem dan prasarana yang ada perlu diperkemaskan lagi.

“Di pihak kerajaan, kita telah meminta setiap urusan berkaitan dipermudah dan disegerakan kerana tidak mahu negara ketinggalan akibat urusan pentadbiran tersebut,” kata beliau dalam ucapan pada majlis pecah tanah Westports 2 di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Pengerusi Eksekutif Westports Malaysia Datuk Ruben Emir Ghanalingam Abdullah.