KANGAR: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas 2,646 karton kotak kaki ayam sejuk beku bernilai RM317,520 dalam operasi pencegahan penyeludupan di tepi jalan berhampiran Kompleks Bebas Cukai Jalan Baru Sadao, Padang Besar.
Komander Briged Utara PGA SAC Shahrum Hashim berkata serbuan itu dilakukan oleh Cawangan Risik Batalion 18 PGA selepas menerima maklumat mengenai aktiviti penyeludupan di kawasan tersebut.
“Pemeriksaan dilakukan terhadap sebuah lori kontena jenis Volvo yang sedang memindahkan muatan ke dua pikap bernombor pendaftaran Thailand.
Hasil pemeriksaan menemukan 2,646 karton kotak mengandungi kaki ayam sejuk beku dengan nilai dianggarkan RM317,520,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiga kenderaan iaitu sebuah lori kontena dan dua pikap turut dirampas, menjadikan jumlah nilai rampasan keseluruhan RM1,417,520.
Seorang lelaki tempatan berusia 48 tahun yang memandu lori itu juga ditahan untuk membantu siasatan.
Kesemua rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) untuk tindakan lanjut.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum enam tahun, atau kedua-duanya.
“Siasatan lanjut dijalankan untuk mengesan saki-baki sindiket yang dipercayai masih aktif menjalankan aktiviti penyeludupan di kawasan Padang Besar,“ tambah Shahrum. - Bernama