CYBERJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua lapisan rakyat termasuk sektor swasta untuk mengangkat semangat kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis kediaman dan pejabat masing-masing.
Anwar berkata beliau berharap semua rakyat dapat menjayakan misi itu seiring tema sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) tahun ini, iaitu Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka.
“Ini bukan isu kaum, parti, kedudukan atau pekerjaan, ini soal jati diri, maruah, harga diri. Ini satu negara bila merdeka kibaran bendera meluas di seluruh negara, dipasang di setiap gerai warung dan rumah dan pondok, setiap sekolah, masjid, kuil, gereja dan setiap jabatan.
“Jadi pastikan kita jadikan tahun ini sebagai tahun yang mempamerkan kemegahan rakyat dan negara kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, barisan menteri Kabinet dan Komuniti MADANI.
Bagi menjayakan misi itu, Anwar berkata pemantauan akan dilaksanakan di semua peringkat termasuk peringkat jabatan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, menteri di kementerian masing-masing, Komuniti MADANI, kerajaan negeri, pemimpin agama dan masyarakat di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama, beliau berharap agar pihak swasta dapat bersama-sama dengan kerajaan menjayakan misi mengibar Jalur Gemilang sempena HKHM 2024.
“Kerja mereka meniaga, catat keuntungan. Saya nak beritahu kalau negara tidak aman, negara tidak untung, kalau tiada pengorbanan polis, tentera, pasukan keselamatan di perbatasan, tidak ada pelaburan baharu.
“Jadi tunjukkanlah dukungan kamu termasuk swasta untuk bersama rakyat dan negara, kibarkan Jalur Gemilang... saya harap mesej ini jelas,” kata Anwar.
Selain itu, Perdana Menteri mengajak rakyat mengimbau kembali sejarah perjuangan tokoh dan rakyat terdahulu yang bersatu hati dan sanggup mengorbankan apa sahaja yang dimiliki demi meraih kemerdekaan negara.
Bagi tujuan itu, Anwar berkata rakyat perlu sentiasa memupuk perpaduan dan mengekalkan kekuatan yang menjadi tonggak utama kesejahteraan di Malaysia.
“Sebab itu ditekankan dalam tema Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka, kalau jiwa dan semangat tidak digilap, ia akan pudar dan yang menjamin hebat jati diri Malaysia adalah jiwa kita,” katanya.
Selain itu beliau menegaskan supaya tidak ada unsur salah guna kuasa dalam kalangan mereka yang telah diberikan amanah.
“Sampai sekarang ada, yang diberikan amanah untuk jaga jabatan, jaga kementerian, jaga negara, gunakan untuk memperkayakan diri mereka atau keluarga mereka atau kroni mereka. Apa bezanya dengan penjajah? Mana akhlak Islam, mana kecintaan, kebangsaan negara?,” katanya.
Oleh itu, Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa menggiatkan usaha menerusi pelbagai program perpaduan di samping mengingatkan rakyat yang negara tidak mungkin mencapai kemerdekaan tanpa kekuatan dan perpaduan semua pihak.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 pada 31 Ogos ini akan diadakan di Putrajaya, manakala sambutan Hari Malaysia akan berlangsung di Sabah.