KUALA LUMPUR: Polis mempunyai hak untuk memeriksa telefon bimbit orang awam sekiranya ada syak wasangka atau maklumat berhubung seseorang disyaki melakukan kesalahan.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata perkara berkenaan termaktub di bawah Seksyen 23 (1) Kanun Prosedur Jenayah iaitu bagi maksud memastikan tiada sebarang komunikasi berunsur lucah, jelik, mengugut dan mengancam seseorang.

Menurutnya, perkara tersebut dibenarkan berdasarkan kesalahan di bawah peruntukan undang-undang Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

“Dalam akta ini, Seksyen 249 AKM memberi kuasa untuk mendapatkan akses kepada data berkomputer termasuklah telefon bimbit dan Seksyen 116B Kanun Prosedur Jenayah pula memberi kuasa untuk mengakses telefon bimbit yang ditakrifkan juga sebagai data berkomputer ketika membuat pemeriksaan terhadap seseorang yang disyaki melakukan apa jua kesalahan jenayah,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, Razarudin berkata kuasa memeriksa tersebut diberikan kepada pegawai polis sekurang-kurangnya berpangkat Inspektor.

Beliau berkata demikian mengulas video tular mengenai individu mempertikai tindakan polis menahan seseorang dan memeriksa telefon bimbit.

Menurut Razarudin, dalam undang-undang lain, Seksyen 20(g) Akta Polis telah memberi kuasa pegawai polis untuk seseorang mempamerkan maklumat apabila diminta oleh pegawai berkenaan.

“Justeru tiada pihak boleh mempertikaikan kuasa memeriksa telefon bimbit ketika sekatan jalan raya, namun ia mesti dibuat dengan berhemah dan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada dan bukan sesuka hati tanpa sebab yang munasabah,” katanya.

“Selain itu, Seksyen 292 Kanun keseksaan boleh digunakan ketika memeriksa telefon bimbit sekiranya ketika pemeriksaan menjumpai bahan-bahan lucah dan ia merupakan suatu kesalahan boleh tangkap tanpa waran,” katanya.

Razarudin berkata situasi sama apabila terdapat aplikasi judi dalam talian di dalam telefon bimbit seseorang dan ia juga merupakan satu kesalahan jenayah yang boleh ditangkap tanpa waran mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Beliau berkata pemeriksaan tanpa waran boleh dilakukan sekiranya pegawai itu mempunyai sebab munasabah untuk mempercayai bahawa kelewatan dalam memperoleh waran geledah akan menjejaskan penyiasatan seperti bukti dirosakkan atau dimusnahkan pemiliknya.

“Dalam kes sedemikian, pihak polis boleh mengambil telefon terbabit terlebih dahulu untuk diperiksa kemudian dan keengganan memberi kerjasama boleh menyebabkan seseorang itu ditahan kerana menghalang tugas polis.

“Telefon bimbit diambil daripada orang awam harus bertujuan siasatan yang relevan sesuatu kes disiasat atau mensyaki sesuatu kesalahan telah dilakukan oleh seseorang,” katanya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menegeaskan polis berhak untuk memeriksa telefon bimbit seseorang jika ada laporan polis dibuat terhadapnya atau jika ada siasatan dijalankan terhadapnya atau jika polis mengesyaki orang itu terbabit dalam perlakuan jenayah selari.