BALIK PULAU: Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kes resit dikeluarkan sebuah restoran makanan segera yang didakwa tertera perkataan menghina Islam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata pihaknya menerima laporan berkaitan kes tersebut pada 8.46 malam, semalam.
“Pada 15 Mei (Rabu) kira-kira 8 pagi terkesan satu gambar dimuat naik oleh pemilik akaun X, “@UPDATE1111”, dan susulan itu satu laporan diterima pada 8.46 malam.
“Hasil siasatan mendapati terdapat satu pesanan diterima pada 5.05 petang dan mempunyai perkataan menghina di bahagian remark atau nota pesanan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Kamarul Rizal turut meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu tersebut yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Semalam, tular di media sosial satu hantaran gambar resit yang dikeluarkan sebuah restoran makanan segera di Kenari Avenue di sini dengan kenyataan menyentuh isu 3R (agama, bangsa dan institusi raja) di ruangan ‘remark’ oleh seorang individu yang memesan makanan berkenaan.
Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas Datuk Azrul Mahathir Aziz melalui hantaran di Facebook hari ini berharap dalang di sebalik resit itu dapat ditahan dengan segera.
Menurutnya beliau sudah berjumpa dengan wakil pengurusan di wilayah utara dan penyelia cawangan restoran makanan segera itu semalam, selepas kes tersebut tular.
Azrul berkata beliau juga telah membuat laporan di Balai Polis Teluk Kumbar untuk membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.