SERI ALAM: Polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan seorang lelaki yang dipercayai melepaskan tembakan dalam cubaan samun di sebuah premis di Taman Megah Ria, Seri Alam, semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, ACP Mohd Sohaimi Ishak, berkata kejadian berlaku pada pukul 7.10 malam dan identiti lelaki tempatan itu sedang dikenal pasti.
“Suspek telah memasuki premis dengan mengacukan sejenis objek menyerupai pistol ke arah mangsa sambil mengarahkan mangsa menyerahkan wang tunai. Suspek melepaskan satu das tembakan di luar premis sebelum melarikan diri dengan sebuah motosikal dari kawasan kejadian,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau bagaimanapun menegaskan tiada sebarang kecederaan terhadap mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Seri Alam melalui talian 07-3871422 atau hotline 07-38614222.
Sebelum ini, tular rakaman kamera litar tertutup di laman sosial Facebook yang memaparkan lelaki terbabit melarikan diri menggunakan motosikal sambil memegang objek dipercayai pistol - Bernama