Your Title

PORT DICKSON: Pemantauan dan penguatkuasaan lebih tegas akan dilaksanakan bagi menangani lumba haram serta aktiviti samseng jalanan yang kerap berlaku di Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (SPDH) terutamanya pada hujung minggu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin berkata hampir setiap minggu pihaknya menahan individu terbabit dengan kegiatan berkenaan termasuk mereka yang melanggar undang-undang jalan raya dalam operasi bersepadu di lebuh raya itu.

Beliau berkata kemasukan kenderaan ke Port Dickson meningkat melebihi 60,000 pada setiap hujung minggu dan cuti umum.

“Memandangkan keadaan lebuh raya ini panjang dan lurus, ia mengundang kepada aktiviti berbahaya termasuklah lumba haram bagaimanapun pihak kita turut meningkatkan operasi penguatkuasaan di sekitar kawasan tersebut bagi mengekang masalah ini daripada terus berlanjutan.

“Hasil tangkapan dan rakaman percakapan yang pernah kita lakukan, kebanyakan mereka ini (pelumba haram) adalah dari luar (bukan daerah Port Dickson). Mereka datang Port Dickson untuk bersiar-siar, tetapi secara tidak dirancang mereka berlumba sesama sendiri,“ katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Dalam pada itu, Maslan berkata sehingga bulan lepas sebanyak 48 kes lumba haram dikesan di Lebuh Raya SPDH tahun ini berbanding 38 kes tahun lepas.

Sementara jumlah kemalangan di lebuh raya itu meningkat satu kes tahun ini setakat Oktober daripada 164 kes tahun lepas, katanya.

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi peraturan jalan raya, memandu secara berhemah dan tidak melakukan aksi berbahaya yang boleh mengganggu pengguna jalan raya lain.

Menurutnya indeks jenayah di daerah pelancongan itu dari Januari hingga Oktober tahun ini menunjukkan peningkatan 14 kes iaitu 201 kes daripada 187 kes tahun lepas.