• 2025-07-19 01:50 PM

JOHOR BAHRU: Polis mengesahkan seorang pengurus syarikat swasta mengalami kerugian RM262,669 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan palsu yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam talian.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata, laporan diterima semalam selepas mangsa berusia 39 tahun menyedari telah ditipu.

“Mangsa memaklumkan kejadian bermula pada April lepas apabila dia terlihat iklan pelaburan saham dengan pulangan tinggi melalui pautan WhatsApp.

“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa melakukan 16 transaksi ke dalam dua akaun bank berbeza dari 25 April hingga 4 Julai, melibatkan jumlah RM262,669,” katanya.

Mohd Sohaimi berkata mangsa kemudian diminta bayar tambahan untuk pengeluaran keuntungan tetapi tidak menerima sebarang pulangan.

Siasatan awal menggunakan platform Semak Mule oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mendapati satu akaun terlibat mempunyai rekod laporan polis berkaitan penipuan pelaburan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. Polis akan siasat penglibatan akaun ‘keldai’ dan ambil tindakan sewajarnya,” jelasnya.

Polis menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan berisiko tinggi.

“Semak kesahihan syarikat pelaburan melalui Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan gunakan portal Semak Mule sebelum buat transaksi,” pesan Mohd Sohaimi- Bernama