Your Title

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) yakin suspek kes tembakan di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam, Sabtu lepas akan ditahan dalam masa terdekat.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata pihaknya sedang giat memburu suspek terbabit.

“Polis telah mengenal pasti suspek dan sedang memburunya. Butiran lanjut tidak dapat didedahkan buat masa ini,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama.

Beliau sebelum ini mendedahkan bahawa suspek merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 30-an, berkulit cerah, dan mempunyai 11 rekod jenayah lampau berkaitan dadah serta jenayah lain.

Siasatan awal mendapati suspek melepaskan lapan das tembakan di pusat beli-belah tersebut selepas berang ditegur oleh pekerja pembersihan agar mengalihkan barang yang diletakkan di kawasan kejadian.

Kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman mati.

Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun.