Your Title

JOHOR BAHRU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua menumpaskan sindiket menyimpan dan memproses barang berjadual sisa elektronik (e-waste) haram melibatkan nilai rampasan RM41.41 juta menerusi serbuan di sebuah kilang di Kampung Baru Sengkang, Kulai di sini pada Selasa lepas.

Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata serbuan Op Taring Landai pada 8.15 pagi itu dibuat susulan maklumat orang awam dan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri serta Majlis Perbandaran Kulai (MPKu).

Pada serbuan itu, polis menahan masing-masing seorang lelaki tempatan, China dan Bangladesh, 10 warga Indonesia termasuk seorang wanita dan dua lelaki Myanmar berumur dalam lingkungan 20 hingga 49 tahun atas pelbagai kesalahan.

“Kita turut merampas pelbagai barangan termasuk 348 guni berisi plat timah, bateri automotif potong (612 guni), bateri automotif (33 kotak), alat kawalan pencemaran habuk (dua unit), ketuhar pembakar dan sisa kompenan elektronik (sembilan guni).

“Turut dirampas ialah 13 bekas takungan berisi air bateri, sisa buangan e-waste (18 tan), bateri (1,290 tan), timah (696 tan), air bateri (13,000 liter) dan peralatan memproses serta melebur e-waste,“ katanya dalam kenyataan malam tadi.

Kumar berkata kes diserahkan kepada JAS untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1969/63, Seksyen 34A, Seksyen 34B dan Seksyen 18 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2025 serta Undang-Undang Kecil Pelesenan Perniagaan dan Perindustrian MPKu 2019.

Pada perkembangan lain, Kumar berkata PPM Wilayah Dua dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Wilayah Selatan menyerbu sebuah kilang memproses minyak sawit tidak berlesen di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang pada 3 petang, Isnin lepas.

Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berumur 38 tahun dan merampas pelbagai barangan dianggarkan bernilai RM1.64 juta termasuk enam tangki empat segi, tangki besi (dua unit), tong dram besi 200 liter (36 unit), set boiler dan lori (dua buah).

“Turut dirampas masing-masing satu pam elektrik dan mesin pemprosesan biodiesel, pam enjin minyak (tujuh unit), minyak sawit terpakai (11,200 liter) dan Palm Oil Mil Effluent (35 tan).

“Tangkapan dan barang rampasan diserahkan kepada MPOB untuk tindakan lanjut di bawah Peraturan 5 yang juga satu kesalahan di bawah Peraturan 21, Peraturan-Peraturan MPOB (Pelesenan) 2005,“ katanya.