SEOUL: Presiden Korea Selatan Lee Jae Myung melantik dua utusan khas bagi misi diplomatik ke Kanada dan Malaysia pada Ahad, menurut kenyataan rasmi dari pejabatnya.
“Delegasi ke Kanada akan diketuai oleh Ahli Parlimen Parti Demokratik (DP) Kim Byung-joo dan disertai Ahli Parlimen Maeng Sung-kyu serta Kim Ju-young,“ kata jurucakap presiden Kang Yu-jung.
Bagi misi ke Malaysia, bekas Menteri Lautan Kim Young-choon dilantik sebagai ketua rombongan, dengan sokongan Ahli Parlimen DP Nam In-soon dan Yun Kun-young.
Pasukan ke Kanada dijadual berlepas pada Selasa untuk bertemu pegawai kanan kerajaan bagi membincangkan perkongsian strategik dalam sektor keselamatan, pertahanan, dan tenaga.
“Utusan khas ke Malaysia juga akan berlepas pada hari sama bagi memperkukuh hubungan dua hala melalui pertemuan dengan pegawai kerajaan dan Parlimen Malaysia,“ jelas Kang.
Pentadbiran Lee merancang menghantar wakil ke 14 negara bagi menjelaskan dasar luar baharu Korea Selatan. - Bernama-Yonhap