PORT DICKSON: Program Ukhuwah Kepimpinan Kerajaan MADANI yang berlangsung di sekitar Port Dickson menonjolkan pendekatan kepimpinan yang menitikberatkan keperluan rakyat.
Menurut kenyataan Kelab Penyokong Kerajaan MADANI (BBC), program ini menyatukan anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan.
Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah gotong-royong perdana di Masjid Pusasda, Kampung Telok Pelandok dan Kampung Pachitan.
Selain itu, Jualan Rahmah turut diadakan bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga berpatutan.
“Program ini turut merangkumi kenduri rakyat dan sesi ramah mesra bersama komuniti setempat. Suasana santai ini membuka ruang interaksi langsung antara pemimpin dan rakyat, sekaligus mengukuhkan semangat perpaduan,” menurut kenyataan itu.
Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerlahkan pendekatan kepimpinan yang turun padang dan mendengar rintihan rakyat.
“Ini adalah manifestasi nilai ihsan dan tanggungjawab sosial dalam falsafah Malaysia MADANI,” jelas kenyataan tersebut.
Anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen bertekad untuk terus menyokong program seumpama ini bagi memastikan aspirasi Malaysia MADANI tercapai.
“Hanya dengan memahami denyut nadi rakyat, kita mampu membina negara yang lebih inklusif dan adil,” tambah kenyataan itu. - Bernama