• 2025-07-20 09:06 PM

ALOR GAJAH: Tiada isu kelewatan atau penggantungan dalam projek menaik taraf benteng pantai di Tanjung Bidara, sebaliknya ia berjalan mengikut jadual dengan reka bentuk teknikal terkini yang lebih efisien dan lestari.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin menjelaskan bahawa sehingga 25 Jun lalu, kemajuan fizikal projek itu mencapai 40 peratus, iaitu lima peratus lebih awal daripada jadual asal.

“Pencapaian ini menunjukkan komitmen tinggi semua pihak dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek ini. Ia dijangka siap sepenuhnya pada 14 September tahun hadapan,“ katanya selepas melakukan lawatan tapak projek di Kampung Balik Batu hari ini.

Beliau menegaskan bahawa walaupun berlaku penangguhan sementara kerja fizikal di tapak susulan keperluan perubahan reka bentuk, projek tidak dihentikan.

“Keputusan ini diambil oleh Bahagian Pengurusan Zon Pantai (BPZP) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka untuk menilai semula reka bentuk asal, selaras dengan keperluan teknikal semasa dan perlindungan jangka panjang,“ jelasnya.

Rais turut memaklumkan bahawa kerja-kerja di tapak akan disambung semula esok dengan reka bentuk baharu yang melibatkan penambahbaikan teknikal, termasuk penambahan dua lapisan sistem pertahanan pantai (CDS) bagi meningkatkan kecekapan perlindungan daripada hakisan.

“Selain itu, projek ini turut melibatkan pembinaan struktur kawalan hakisan pantai serta kerja-kerja penambakan pasir pantai sebagai zon penampan hakisan semula jadi,“ katanya.

Projek bernilai RM2.29 juta ini mula dilaksanakan pada 15 Ogos tahun lepas dan bertujuan melindungi kawasan pantai Tanjung Bidara daripada kesan hakisan serta impak fenomena air pasang besar. - Bernama