Your Title

KUALA LUMPUR: Malaysia berdiri teguh bersama Filipina dan telah memberikan bantuan kemanusiaan bagi meringankan penderitaan dihadapi penduduk susulan ribut tropika Kristine yang melanda negara itu, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam hantaran di laman Facebook, Anwar berkata tragedi dahsyat seperti itu memberi peringatan kepada semua pihak akan pentingnya perpaduan serta kerjasama serantau yang erat.

“Kepada Presiden Bongbong (Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos Jr) dan rakyat Filipina, takziah saya ucapkan dan Malaysia berdiri teguh bersama Filipina dan tidak akan sesekali mengabaikan tetangganya terutama di saat getir dan tragedi.

“Sementara kita menggerakkan bantuan segera, kedua kami menyatakan perlunya usaha menyumbang kepada pemulihan jangka panjang serta inisiatif ke arah pembinaan semula,” katanya.

Anwar turut berkongsi bahawa beliau menerima panggilan telefon daripada Marcos yang juga sahabat baiknya hari ini dan telah menyatakan dukungan penuh Malaysia kepada republik itu yang kini dirundung malapetaka akibat ribut tersebut.

Perdana Menteri juga mengulangi tekad untuk bekerjasama lebih rapat dengan Filipina dalam memperkukuh perencanaan dan tindak balas tangkas terhadap bencana sebagai tidak hanya untuk mempererat hubungan dua hala tetapi juga meningkatkan daya tahan rantau ini.

Pada 27 Okt lepas, helikopter EC 725 AP milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dari No 5 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan telah digerakkan bagi menghantar barangan keperluan dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) ke kawasan terjejas di Filipina.