KUALA LUMPUR: Sejumlah RM560 juta disediakan untuk memperkasakan sempadan negara dalam Belanjawan 2025, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan belanjawan itu di Dewan Rakyat hari ini berkata beberapa Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) akan dibina baharu selain menaik taraf kompleks berkenaan di Rantau Panjang dan Bukit Berapit.

Beliau berkata dua pos sempadan baharu di Bantul dan Serudung, Sabah akan dibina dan badan penguat kuasa juga bakal dibekalkan dengan teknologi dron dan AI untuk meningkatkan capaian kawasan diawasi.

“Selain itu, pembangunan pekan-pekan yang bersempadan dengan Kalimantan, Indonesia dan Selatan Thailand turut diberi keutamaan mencakupi penyediaan prasarana asas serba lengkap dengan peruntukan hampir RM1 bilion.

“Ini termasuklah pembinaan jambatan Rantau Panjang ke Golok dan Pengkalan Kubor ke Tumpat dengan kos lebih RM50 juta,” katanya.

Sementara itu, susulan kekangan bekalan air di kawasan The Eastern Sabah Security (ESS Zone), Sabah, katanya sejumlah RM5 juta diperuntukkan bagi membekalkan air bersih secara hibrid menggunakan air hujan dan air bawah tanah.