KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) memperuntuk sebanyak RM3.46 bilion bagi pelaksanaan Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) untuk sistem kutipan tol menjelang 2025 dalam usaha mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di lebuh raya terutama di plaza tol.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata kerajaan komited menambah baik mutu pengurusan lebuh raya terutama dari segi sistem kutipan tol agar pengguna tidak perlu bersesak semasa membuat pembayaran.

“Kerajaan sedang berusaha memastikan sistem MLFF dapat dilaksana bermula dengan kajian penggunaan pada 2024 sebelum penggunaan sepenuhnya pada 2025 untuk mengelakkan penggunaan palang,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata pelaksanaan MLFF akan memberi impak positif kepada kesesakan semasa yang semakin meruncing terutama di kawasan plaza tol apabila pengguna tidak lagi perlu berhenti atau memperlahan kenderaan untuk membuat pembayaran.

Katanya MLFF juga akan memberi kemudahan serta meningkatkan pengalaman pengguna melalui transaksi pembayaran tol yang cepat dan efisien.

Abdul Rahman berkata dianggarkan sebanyak empat juta hingga lima juta kenderaan sehari yang menggunakan jaringan lebuh raya bertol di negara ini.

Beliau juga berkata KKR bersetuju menaik taraf Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dari plaza tol Karak hingga plaza tol Bentong.

Katanya projek itu, yang dijangka bermula pada Julai 2023, akan dilaksana oleh syarikat konsesi dan mengambil masa empat tahun dengan kos sebanyak RM2.1 bilion.

Dewan Rakyat kemudian meluluskan peruntukan berjumlah RM865.27 juta bagi KKR dalam Belanjawan 2023 di peringkat jawatankuasa melalui undian suara majoriti selepas dibahas oleh 26 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang. - Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image