• 2025-07-20 03:02 PM

BEREGU profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani sekali lagi berputih mata apabila tewas kepada pasangan Korea Selatan pada aksi final Terbuka Jepun 2025 hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Gimnasium Tokyo Metropolitan, gandingan nombor satu dunia itu tidak berdaya mengekang serangan agresif Kim Won Ho-Seo Seung Jae, sekali gus akur tewas 16-21 pada set pertama.

Sze Fei-Nur Izzuddin cuba bangkit pada set kedua mendahului 4-1, namun rentak permainan wakil negara goyah hingga membolehkan lawan menyamakan kedudukan 14-14 sebelum mendahului 15-14.

Kelekaan pemain negara itu membolehkan Won Ho-Seung Jae terus menguasai perlawanan sebelum menoktahkan kemenangan dengan 21-17 untuk meraih gelaran kelima mereka tahun ini.

Won Ho-Seung Jae membawa pulang wang kemenangan USD70,300 (hampir RM298,000) manakala Sze Fei-Nur Izzuddin USD33,250 (RM141,000) selaku naib juara- BERNAMA