IPOH: Kerajaan Perak mengesahkan tiada kes baharu wabak demam babi Afrika (ASF) dikesan sejak tahun 2024, dengan situasi semasa berada dalam kawalan penuh.
Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional negeri, A Sivanesan, menegaskan tiada rancangan untuk menutup ladang babi di negeri itu meskipun wabak sedang melanda Pulau Pinang.
“Sebanyak 26 peratus penduduk negara ini bergantung pada daging babi sebagai sumber protein. Jika bekalan terganggu, permintaan terhadap ayam dan ikan akan meningkat, seterusnya memberi tekanan pada pasaran,“ jelas Sivanesan dalam sidang media hari ini.
Wabak ASF pertama kali dikesan di Perak pada 4 Disember 2021 melibatkan babi hutan, diikuti kes di ladang babi Batang Padang pada 27 Mac 2022, dan terakhir di ladang Multi Agriculture, Tronoh pada 25 Oktober 2023.
Sebanyak 18 ladang babi terjejas antara 2022 dan 2023, dengan 19,335 ekor babi terlibat.
Daripada jumlah itu, 13 ladang telah beroperasi semula manakala lima lagi ditutup secara kekal.
Sivanesan turut memaklumkan bahawa Perak mengeksport daging babi ke negeri lain, menyebabkan bekalan dalam negeri berkurangan dan terpaksa diimport dari luar negara.
Beliau akan ke China untuk meninjau ladang moden sebagai persediaan transformasi industri penternakan babi tempatan.
Selain itu, beliau memaklumkan hanya satu kes batuk kokol dilaporkan tahun ini melibatkan bayi lelaki berusia dua bulan, menunjukkan penurunan 96.6 peratus berbanding 29 kes pada tempoh sama tahun lalu.
Ibu bapa disaran memastikan pelalian lengkap untuk bayi mengikut jadual bagi mengurangkan risiko jangkitan. – Bernama