GEORGE TOWN: Tumpahan minyak diesel daripada sebuah lori dipercayai menjadi punca kemalangan membabitkan tujuh kenderaan di Jalan Masjid Negeri di sini petang tadi.
Kejadian itu dilaporkan melibatkan dua kereta dan lima motosikal.
Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak Mohd Azmiza Mustafa, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.39 petang sebelum bertindak segera ke lokasi.
“Sebaik tiba, bomba mendapati terdapat kemalangan membabitkan dua kereta dan lima motosikal akibat jalan licin dipercayai akibat tumpahan minyak daripada lori yang membawa diesel. Lori itu kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan selanjutnya,“ katanya.
Seorang penunggang motosikal dilaporkan mengalami kecederaan ringan dalam kejadian itu.
Pasukan bomba melakukan pembersihan menggunakan aliran air dan serbuk pencuci bagi memastikan jalan selamat untuk digunakan semula.
Operasi pembersihan selesai sepenuhnya pada jam 5.47 petang selepas kawasan terjejas sejauh lebih satu kilometer disahkan selamat. – Bernama