JERTIH: Umno telah menyiapkan jenteranya bagi membantu persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 yang dijangka diadakan pada bila-bila masa, menurut Timbalan Presidennya Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata Umno di setiap negeri sudah menerima pembahagian zon masing-masing, dan jentera negeri akan bergerak ke kawasan yang ditugaskan. Pembahagian zon itu disusun dengan baik oleh bilik gerakan di ibu pejabat parti, dengan sebahagian petugas sudah berada di Sabah bagi memulakan kerja.
“Semalam semua ketua bahagian Kelantan berada di Sabah kerana mereka menjaga kawasan Timur Sabah. Terengganu pun akan pergi untuk menguruskan kawasan Tawau, Sandakan dan Kudat. Di Negeri Sembilan dan Melaka pula kami diberi mandat menjaga kawasan Putatan, Penampang, Sepanggar dan Kota Kinabalu,” katanya.
Mohamad, yang juga Menteri Luar dan Ahli Parlimen Rembau, berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Besut di Dewan Majlis Daerah Besut, Kampung Gong Kemuntong. - Bernama